global

Mati bola beracun

Oleh Agensi

Hong Kong: Seorang pakar bius membunuh isteri dan anak perempuannya berusia 16 tahun dengan meracun mereka menggunakan bola yoga diisi gas karbon monoksida yang ditinggalkan dalam but kereta dinaiki dua beranak itu.

Pakar itu, rakyat Malaysia Khaw Kim-sun, 53, yang kini dibicarakan bagi dua tuduhan bunuh di mahkamah di Hong Kong menangis ketika mendengar keterangan pakar patologi yang memberi keterangan semalam mengenai bedah siasat terhadap anaknya.

Wong Siew-fung, 47, dan Khaw Li-ling, 16, ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta wanita Mini Cooper kuning milik terbabit pada 22 Mei 2015 dalam kes yang pada mulanya mengelirukan polis. Mereka diisytiharkan mati di hospital sama tempat Khaw bertugas dengan punca kematian kemudian dikenal pasti akibat keracunan karbon monoksida.

Polis turut menemui bola yoga yang sudah kempis di belakang kereta itu, lapor AFP.

SCMP memetik keterangan saksi berkata, Khaw mengadakan hubungan sulit dengan bekas guru tuisyen anaknya, manakala isterinya enggan bercerai.

Susulan itu, dia didakwa merancang pembunuhan wanita itu, namun kematian anaknya mungkin tidak disengajakan apabila dia dilaporkan menyuruh anak ketiganya tinggal di rumah dan menghabiskan kerja sekolah pada hari kejadian, lapor Apple Daily.

Menurut laporan, Khaw dilihat mengisi dua bola dengan karbon monoksida di Chinese University of Hong Kong, di mana dia seorang profesor madya.

Dia memberi alasan kepada rakan sekerja bahawa gas itu untuk membunuh arnab, namun apabila ditahan polis Khaw mendakwa pula ia untuk menghapuskan tikus.

Kelmarin, pembantu rumah warga Indonesia keluarga itu Siti Maesaroh memberitahu mahkamah bahawa Lily bercuti, manakala tiga adiknya bersekolah pada hari kejadian. Siti juga berkata, rumah mereka tiada tikus, malah keluarga itu membela dua kucing untuk membunuh haiwan perosak berkenaan.

Sementara itu, rakan baik Wong, Foong Wai-yee memberitahu mahkamah mangsa amat tertekan sehingga terpaksa mendapatkan kaunseling selepas perkahwinannya mula hambar sekitar 2010.

“Dia memang selalu menangis, namun pada 2015 keadaannya lebih baik kerana sudah mula menerima keadaan,” kata Foong yang juga rakyat Malaysia.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 2:00pm
d