global

Najis diperlukan, bantu penyelidikan gangguan usus

Oleh Reuters

SAINTIS Belgium memerlukan sumbangan najis daripada orang ramai untuk membantu penyelidikan mengenai pelbagai penyakit daripada gangguan usus dan alahan kepada penyakit saraf.

Di hospital Universiti Ghent, penyelidik menjalankan prosedur pemindahan mikrobiota berkaitan najis ke atas pesakit.

Mereka mengeluarkan mikrobiota baik, iaitu organisme halus yang tinggal dalam usus besar, daripada penderma untuk dipindahkan kepada pesakit.

“Bagaimana mencari penderma. Ia bukan mudah. Orang ramai tidak selalunya mahu menderma najis mereka.

“Ia juga sesuatu yang sukar untuk dibincangkan tetapi kami memulakan kempen ini dalam akhbar di Flanders,” kata penyelidik bioperubatan, Hannelore Hamerlinck.

Selain gangguan usus, najis mungkin terbukti menjadi aset dalam penemuan penawar bagi banyak penyakit lain, kata saintis.

Sejak sedekad lalu, ada peningkatan dalam kajian menunjukkan kaitan positif antara sifat penyembuhan najis dan rawatan kemurungan, barah, autisme, Parkinson dan alahan.

“Mikrob berada pada pusat sistem. Bakteria dalam perut mengeluarkan hormon yang memberi kesan kepada otak.

“Ia juga membantu kami membuang yang jahat dan mencerna perkara tertentu,” kata Hamerlinck.

Penderma mesti sihat untuk mengambil bahagian dalam penyelidikan.

Mereka perlu mengisi soal selidik dan diperiksa dalam tempoh tiga bulan sebelum boleh menjadi penderma berkelayakan.

Orang ramai kerap tampil sebagai penderma apabila orang tersayang bergelut dengan penyakit usus, katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 3:50pm
d