global

China nafi aniaya etnik Uighur

Oleh AFP

Beijing: China menolak laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa Beijing membebaskan etnik Uighur yang ditahan atas alasan keganasan.

Jawatankuasa PBB berkaitan Penghapusan Diskriminasi Perkauman mengatakan kebimbangan terhadap laporan sehingga sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam ditahan di kem tahanan di Xinjiang.

“Tiada data rasmi jumlah mereka berada dalam tahanan jangka panjang atau siapa yang dipaksa berada di banyak ‘kem pendidikan semula’ politik,” kata laporan jawatankuasa itu.

Beijing menyelar laporan itu dan jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying, dalam taklimat media berkata: “Laporan itu berdasarkan maklumat belum disahkan dan tiada asas dari segi fakta.”

Menurut Hua, China melakukan apa yang perlu untuk memerangi pelampau dan keganasan di negara itu.

China sudah lama menafikan kewujudan kem tahanan walaupun bukti meningkat berdasarkan dokumen rasmi dan keterangan mereka yang pernah ditahan.

Beijing meningkatkan tindakan tegas di Xinjiang terhadap penduduk, terutama etnik Uighur yang dianggap pelampau Islam dan elemen pemisah, namun umat Muslim di rantau itu menuduh Chinba melakukan penindasan agama dan budaya.

Penduduk Islam di wilayah itu yang berkongsi sempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, dilarang menyimpan jambang dan memakai penutup muka serta pengagihan al-Quran yang tidak diiktiraf.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 1:00pm
d