global

Jumpa ulat bulu dalam briyani

Oleh AFP

SYARIKAT perabot terkemuka dari Sweden, Ikea yang membuka cawangan di India memohon maaf kepada seorang pelanggan selepas lelaki itu menemui ulat bulu dalam nasi yang dipesannya.

Gudang di Hyderabad berkenaan dibuka bulan lalu, yang pertama daripada 25 cawangan diharapkan dapat dibuka di India bagi memenuhi permintaan negara dengan jumlah penduduk 1.25 bilion.

Pelanggan itu, Abeed Mohammad memuat naik gambar ulat bulu yang dijumpai dalam hidangan briyani dipesannya ke laman media sosial Twitter.

Selepas menerima bangkai serangga itu Sabtu lalu, pihak pengurusan menghantar notis kepada Ikea serta firma pembekal makanan terbabit.

Menurut agensi berita Press Trust of India, Ikea turut didenda 11,500 rupees (RM668) kerana menggunakan penutup plastik pada makanan dan tidak melaksanakan kaedah mengasingkan sisa makanan.

Ikea berkata, mereka memiliki garis panduan yang ketat berhubung keselamatan makanan dan memohon maaf kepada pelanggan terbabit atas pengalaman tidak menyenangkan itu.

“Kami memberi jaminan kepada beliau serta semua pelanggan lain bahawa kejadian ini akan disiasat secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya akan diambil,” kata Ikea India dalam satu kenyataan.

“Kami di Ikea memiliki garis panduan yang ketat apabila menyentuh aspek keselamatan makanan dan kesihatan serta keselamatan pengguna amat dipandang serius,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 8:34pm
d