global

Misteri kangaru terlepas di Austria

Oleh AFP

VIENNA: Seekor kangaru dipercayai terlepas dan dilihat berada di beberapa semak dan hutan di Austria, kata polis hari ini.

Haiwan itu yang bukan berasal dari negara Eropah berkenaan dikesan beberapa kali sejak minggu lalu di daerah Hellmonsoedt di negeri Upper Austria.

Polis yang mengenal pasti kangaru itu berdasarkan foto dan video dikirimkan kepada mereka sedang cuba mengesan pemilik sebenar haiwan terbabit.

“Kami telah menghubungi beberapa pemilik zoo dan penternak kangaru tetapi tiada siapa berkata mereka ada kehilangan haiwan itu. Kami berharap pemilik sebenar akan tampil ke depan,” kata seorang pegawai polis yang enggan identitinya didedahkan.

Polis tidak dapat mengesahkan baka sebenar kangaru itu tetapi percaya kejadian itu tidak perlu menimbulkan kebimbangan mana-mana pihak kerana haiwan berkenaan sangat ‘pemalu’ dan tidak mungkin mendatangkan sebarang kerosakan.

Individu yang mahu membela kangaru di Austria perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu.

Menurut media tempatan, penemuan haiwan jenis itu sebenarnya sudah beberapa kali berlaku termasuk pada tahun 2015 apabila seekor kangaru terlepas dari pemiliknya di negara jiran. Jerman.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 9:36pm
d