global

Jepun bimbang 'ditelan' Taufan Jebi

Oleh Reuters

TOKYO : Jepun mengeluarkan nasihat berpindah kepada hampir 300,000 penduduk dan membatalkan beratus penerbangan berikutan angin kencang dan hujan lebat akibat ketibaan Taufan Jebi di bahagian utara negara itu.

Jebi membawa maksud ‘telan’ dalam bahasa Korea ialah insiden cuaca buruk terbaru melanda Jepun pada musim panas kali ini selepas hujan lebat, tanah runtuh, banjir dan musim panas melampau sehingga meragut ratusan nyawa.

Taufan itu melalui bahagian barat Jepun dan dijangka melanda Shikoku iaitu pulau terkecil di rantau itu sebelum bergerak ke arah Honshu dan Osaka, bandaraya kedua terbesar negara berkenaan lewat hari ini.

Nasihat untuk berpindah itu dikeluarkan kepada hampir 280,000 penduduk berikutan keadaan angin dan hujan yang semakin buruk.

Visual televisyen turut memaparkan keadaan laut semakin bergelora dan amaran ombak besar khususnya lewat hari ini.

Jabatan kaji cuaca melaporkan, kelajuan angin mencecah 166 kilometer sejam (km/h) direkodkan di Shikoku dan dijangka mencapai kelajuan maksimum sebanyak 216 km/h.

Sementara itu, 87 milimeter (mm) hujan pula dilaporkan turun selama beberapa jam di sesetengah kawasan pagi tadi dan dijangkakan mencecah 500 mm dalam tempoh 24 jam.

Pihak berkuasa juga terpaksa membatalkan hampir 600 penerbangan selain sejumlah besar perjalanan membabitkan feri dan kereta api.

Turut terjejas ialah operasi kereta api laju dan taman tema Universal Studios yang terpaksa ditutup buat sementara.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 2:15pm
d