global

Jutawan China ditahan salah laku seksual

Oleh Agensi

Washington: Jutawan e-dagang China, Liu Qiangdong atau lebih dikenali sebagai Richard Liu dibebaskan selepas tidak sampai 24 jam ditahan Sabtu lalu, bagi siasatan kes salah laku seksual di Minneapolis.

Menurut Reuters, jutawan terkemuka China yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JD.com Inc dibebaskan kerana polis tidak memiliki sebarang bukti.

Jurucakap Jabatan Polis Minneapolis, John Elder, bagaimanapun berkata, siasatan masih dijalankan, namun Liu, 45, boleh meninggalkan Amerika.

Beliau enggan memberikan maklumat lanjut mengenai kes menyebabkan penahanan jutawan itu.

Sementara itu, JD.com dalam kenyataan menyatakan tiada sebarang bukti berhubung perkara itu dan polis tempatan turut berpendapat demikian.

JD.com dalam kenyataan semalam, menyatakan Liu dituduh melakukan kesalahan itu ketika berada di Amerika untuk urusan perniagaan, namun polis tidak menemui sebarang salah laku.

Menurut syarikat itu, Liu akan meneruskan urusannya di Amerika seperti dirancang.

“Ketika di Amerika Syarikat, Liu disoal polis di Minnesota berhubung tuduhan tidak berasas.

“Polis menyatakan tiada bukti untuk tuduhan itu,” kata kenyataan terbabit.

Menurut Daily Mail, JD.com iaitu Jingdong, ialah saingan laman web dagang popular China, Alibaba Group. Liu yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, dianggar bernilai AS$7.9 bilion.

Beliau menubuhkan JD.com pada 2004 dan Jun lalu, Google mengumumkan ia melabur AS$550 juta dalam syarikat itu sebagai rakan kongsi strategik.

Menurut laman web Sherif Daerah Hennepin, aduan terhadap Liu dibuat sejurus sebelum tengah malam Sabtu lalu, dan beliau dibebaskan pada 4 petang waktu Ahad.

Mengikut undang-undang Minnesota, jenayah salah laku seks mempunyai tafsiran luas, termasuk aktiviti seks tanpa persetujuan.

Sementara itu, Financial Times yang memetik dua sumber melaporkan kes itu membabitkan Liu dan mahasiswa berasal dari China di Universiti Minnesota.

Menurut jurucakap universiti berkenaan, Liu menyertai program kedoktoran dan peserta program berkenaan berada di universiti itu dari 26 Ogos hingga 1 September lalu.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 4:59pm
d