global

Lubang pada ISS mungkin sabotaj

Oleh AFP

MOSCOW: Russia melancarkan pemeriksaan, hari ini, selepas ketua agensi angkasanya memaklumkan wujud kebocoran pada Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang mungkin berpunca daripada perbuatan sengaja.

Ketua agensi angkasa negara itu, Dmitry Rogozin berkata, lubang terbabit dikesan di sebuah pesawat Russia yang diletakkan di stesen pengorbit berkenaan, Khamis lalu.

Katanya, lubang itu dibuat menggunakan penggerudi dan mungkin dilakukan secara sengaja sama ada di angkasa atau di Bumi.

Keadaan itu, memaksa angkasawan menggunakan pita pelekat untuk menutup kebocoran itu kerana ia menyebabkan kehilangan tekanan udara, namun tidak mengancam nyawa.

“Ada beberapa percubaan untuk menggerudi. Kesan menunjukkan seolah-olah penggerudi dipegang tangan yang menggigil. Adakah ini kerosakan semasa pengeluaran atau tindakan sengaja?

“Kami sedang memeriksa versi pesawat ketika di Bumi, namun kami tidak menolak satu lagi versi, iaitu gangguan sengaja di angkasa,” kata Rogozin.

Satu suruhanjaya akan menyiasat siapa yang bertanggungjawab, kata Rogozin sambil menambah ia ‘soal maruah’ untuk syarikat pengilang angkasa Energiya Russia yang menghasilkan Soyuz.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 8:28pm
d