global

Suruh kurangkan sejuk jadi salah besar

Oleh Reuters

Sao Paulo: Gara-gara marah penumpangnya mengadu terlalu sejuk dan meminta tahap pendingin udara dikurangkan, seorang pemandu Uber meninggalkan wanita buta yang menaiki kenderaannya itu di tepi jalan, minggu lalu.

Dalam kejadian terbaru yang mencetuskan persoalan mengenai aspek keselamatan bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan Uber, wanita itu berkata, dia diminta turun selepas pemandu itu memarahinya kerana membuat permintaan itu.

Kejadian itu menimpa Nathalia Santos, 26, dari Rio de Janeiro yang mengendalikan saluran popular di YouTube sebagai wanita buta.

Nathalia berkata, dia tidak dapat memberitahu lokasinya selepas diusir dari kenderaan Uber itu, selain bagaimana hendak sampai ke destinasinya.

“Pemandu itu memberhentikan kereta, menjerit memarahi saya serta mendakwa keadaan buta ini satu hukuman untuk saya,” katanya di Instagram mengenai kejadian yang berlaku Khamis lalu.

Kes itu menimbulkan kebimbangan mengenai bentuk latihan dan tapisan latar belakang pemandunya khususnya layanan mereka kepada penumpang kurang upaya.

Susulan itu, Uber menyatakan pemandu terbabit yang identitinya tidak didedahkan, sudah diharamkan bekerja untuk syarikat berkenaan.

“Uber memutuskan perlakuan itu tidak boleh diterima. Kami kesal dengan kejadian ini dan sudah memaklumkannya kepada pemandu,” menurut kenyataan syarikat itu.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 9:42am
d