global

Lebih 30 dikhuatiri tertimbus

Oleh Reuters

TOKYO: Penyelamat berusaha mencari mangsa gempa bumi kuat hari ini yang menyaksikan kawasan tepi bukit menimbus kediaman di Jepun, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang dan menyebabkan puluhan lain masih hilang.

Sehingga 30 orang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan tanah dan bangunan, dalam insiden tanah runtuh skala besar yang menimpa penduduk di kawasan pinggir bandar di pulau utara Hokkaido susulan gempa bumi magnitud 6.6.

Gambar dari udara menunjukkan bangunan ladang musnah di bawah bukit ketika helikopter penyelamat membuat tinjauan di rantau yang sudah terjejas akibat taufan kuat membadai sebahagian Jepun awal minggu ini.

Gempa itu menyebabkan hampir tiga juta orang terputus bekalan elektrik selepas kerosakan besar loji jana kuasa terma yang membekalkan kuasa ke rantau itu dengan Menteri Industri Hiroshige Seko berkata, ia mungkin mengambil masa ‘sekurang-kurangnya seminggu’ untuk bekalan dipulihkan.

Barisan panjang terbentuk di luar stesen minyak dan pasar raya dengan pihak berkuasa memberi amaran, gempa bumi susulan mungkin berlaku.

Seorang pegawai di bandar terjejas teruk Abira, Kazuo Kibayashi, memberitahu AFP: “Secara tiba-tiba berlaku gegaran. Saya merasakan ia bergerak kiri ke kanan, bukan atas dan bawah, selama kira-kira dua hingga tiga minit.

“Ia berhenti sebelum bergegar semula. Saya merasakan ia datang dalam dua gelombang. Saya berusia 51 tahun dan tidak pernah mengalami gegaran seperti ini. Saya fikir rumah saya akan runtuh. Segala-galanya dalam rumah saya berselerak. Saya tiada masa untuk malah memulakan kerja pembersihan.”

Penyiar awam, NHK melaporkan, sembilan orang terkorban, kebanyakannya di perkampungan Atsuma, di mana tanah runtuh menimbus rumah mangsa manakala 31 orang masih hilang, dengan kira-kira 300 mengalami cedera ringan.

Tidak lama selepas gempa awal melanda, sejauh 62 kilometer di tenggara ibu kota serantau Sapporo, satu gegaran susulan berukuran 5.3 menggegarkan kawasan sama, dengan berpuluh lagi gegaran dirasai sepanjang hari.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe selepas mesyuarat tergempar Kabinet.

Jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga menambah: “Saya menggesa penduduk di kawasan dilanda gempa kuat supaya tenang, beri perhatian kepada maklumat pemindahan serta membantu antara satu sama lain. Cuaca hujan di Hokkaido. Tolong berhati-hati dengan kejadian tanah runtuh lanjut.”

Kira-kira 20,000 pekerja penyelamat termasuk polis dan anggota Pasukan Pertahanan Diri (SDF) memberi maklum balas terhadap bencana, kata Suga. Tambahan 20,000 askar dijangka menyertai usaha itu.

Jepun masih pulih daripada serangan taufan terburuk dalam 25 tahun, menyerang bahagian barat negara itu Selasa lalu, meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa dan menyebabkan kerosakan besar kepada lapangan terbang antarabangsa Kansai.

Gempa itu juga menyebabkan gangguan pengangkutan besar-besaran dengan semua penerbangan dibatalkan dari lapangan terbang utama Sapporo di Chitose. Perkhidmatan bas dan tren tempatan serta kereta api laju juga dihentikan.

Loji jana kuasa nuklear Tomari di Hokkaido, yang tidak beroperasi sebelum gempa dipaksa menggunakan kuasa sokongan kecemasan untuk memastikan sistem penyejukannya berfungsi, kata NHK.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 8:47pm
d