global

'Hidup bukan buat anak saja'

Oleh Agensi

HOLLYWOOD: Aktres terkenal melalui drama komedi ‘Friends’, Jennifer Aniston, membidas mana-mana pihak yang berpendapat bahawa wanita sepatutnya berusaha menjadi ibu kerana dia percaya dilahirkan bukan untuk tujuan itu sahaja.

“Memang ada tekanan untuk wanita supaya menjadi ibu dan jika mereka tidak dapat memberi zuriat, mereka dianggap tidak sempurna

“Mungkin tujuan saya dilahirkan bukan untuk perkara itu. Mungkin ada perkara lain yang saya perlu lakukan,” kata Aniston yang juga bekas isteri aktor Brad Pitt.

Aniston juga berkata, dia tidak sepatutnya dilihat sebagai ‘barangan rosak’ hanya kerana tidak cuba membentuk keluarga bersama suaminya, Justin Theroux, sebelum mereka berpisah.

Mengulas pandangan bahawa dia sepatutnya cuba menjalin hubungan dengan lelaki lain, bermula dengan mendapatkan teman lelaki, Aniston memberitahu, dia belum ada niat ke arah itu lagi.

Aniston, 49, mengumumkan untuk berpisah dengan Theroux, 46, yang dikahwininya pada 2015, pada Februari lalu.

Sumber berkata: "Dia tidak rasa mahu berteman. Dia rasa gembira dapat memberi tumpuan kepada kerja ketika ini.”

Aktres itu juga dipetik sebagai berkata bahawa dia tidak sedih atau patah hati semata-mata kerana berpisah dengan Theroux.

“Orang yang berpandangan seperti itu hanya tahu bercakap sahaja. Tiada siapa mengambil kira perkara itu sensitif kepada saya dan pasangan.

“Mereka tidak tahu apa sebenarnya yang saya telah lalui secara peribadi dan emosi (dalam perkahwinan dengan Theroux).”

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 8:31pm
d