global

Trump mula bimbang

Oleh Agensi

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyalahkan penyokongnya sendiri sekiranya dia dipecat dari Rumah Putih dan memberi amaran situasi itu akan membawa AS menjadi negara ketiga satu hari nanti.

Trump dari parti Republikan membangkitkan kemungkinan dia dipecat sebagai presiden AS sekiranya Demokrat menguasai Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal dalam satu kempen di Billings, Montana kelmarin.

Dia memberi amaran, sekiranya Demokrat menguasai Kongres mereka akan berusaha memecatnya walaupun keadaan ekonomi yang kukuh dan situasi itu akan menjadi ikutan yang seterusnya menjejaskan presiden selepasnya.

Sebelum ini beberapa anggota Demokrat di Senat menggesa Trump dipecat.

“Katakan seorang presiden dipilih daripada Demokrat dan katakan Senat dikuasai Republikan. Kita juga akan menyingkirkan Demokrat itu.

“Kamu akan mempunyai negara yang bakal menjadi negara ketiga kerana sekiranya parti berbeza menjadi presiden, setiap kali sebelum ia bermula, sebelum kamu tahu dia bakal melakukan tugas dengan baik atau tidak, kamu akan berkata, “Kami mahu memecatnya.”

“Sekiranya ini berlaku, semua ini adalah salah anda kerana anda tidak keluar untuk mengundi,” katanya.

Trump di Montana untuk menyokong calon Senat dari Republikan, Matt Rosendale yang mencabar calon Demokrat, Senator Jon Tester yang juga pemimpin utama parti itu.

Pilihan raya AS 2018 yang dikenali sebagai pilihan raya pertengahan penggal bakal diadakan pada 6 November depan.

Ia diadakan pada pertengahan penggal pertama Trump menjadi presiden.

Semua 435 kerusi di Dewan Perwakilan dan 35 kerusi di Senat bakal dipertandingkan.

Sebanyak 39 jawatan gabenor di peringkat negeri dan wilayah dipertandingkan serta pilihan raya tempatan turut diadakan di banyak negeri.

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 12:38am
d