global

Ancam tarif barang import China

Oleh AFP

FARGO: Presiden Donald Trump hari ini mengancam mengenakan tarif ke atas semua barangan China yang diimport ke Amerika Syarikat (AS), memburukkan lagi hubungan dagangan yang sedia tegang dengan Beijing.

AS mengenakan tarif hukuman ke atas barangan China sedia ada berjumlah AS$50 bilion (RM207.54 bilion) dan tambahan AS$200 bilion (RM830.15 bilion) dikatakan Trump ‘mungkin dilaksanakan seberapa segera.’

Namun beliau memaklumkan media yang berada bersamanya di Dakota Utara di sini, ‘di sebalik itu, ada tambahan AS$267 bilion (RM1.11 trilion) bersedia untuk dikenakan dalam notis singkat jika saya mahu.’

Ia pada hakikatnya merangkumi kesemua barangan import dari ekonomi kedua terbesar dunia.

“Ia mengubah persamaan secara keseluruhan,” kata Presiden AS itu.

Ulasannya bertentangan dengan kenyataan lebih diplomatik awal hari ini daripada penasihat ekonomi atasannya, Larry Kudlow yang berkata, perbincangan dengan Beijing diteruskan untuk cuba meredakan konflik dan beliau berharap satu penyelesaian dapat diperoleh.

“China, ketika ini adalah masalah jauh lebih besar. Saya bertegas terhadap China kerana saya perlu melakukannya,” kata Trump.

Tarikh akhir untuk orang awam memberi ulasan berhubung gelombang cukai menghukum berikutnya terhadap import tahunan berjumlah AS$200 bilion dari China tamat Khamis, justeru Trump boleh melaksanakan tarif itu dengan segera.

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 3:05am
d