global

Silap rumah... tembak mati jiran akauntan

Oleh Agensi

Texas: Pegawai polis wanita kini menghadapi tuduhan membunuh apabila dia menembak mati jirannya selepas dia tersilap memasuki rumah mangsa yang disangka rumahnya.

Menurut laporan media tempatan, dalam kejadian kira-kira 10 malam Jumaat lalu, pegawai polis wanita berkulit putih itu baru pulang dari tempat kerja apabila dia tersilap memasuki rumah jirannya, Botham Shem Jean, 26, yang berkulit hitam di sebuah kompleks apartmen di Dallas, Texas.

Menurut polis, lelaki itu, seorang akauntan, bersemuka dengan polis terbabit sebelum wanita berkenaan mengeluarkan pistol dan menembak mangsa, mungkin menyangka lelaki berkenaan menceroboh rumahnya.

Daily Mail melaporkan, wanita itu kemudian menghubungi polis mengenai kejadian itu dan terkejut apabila anggota yang tiba di tempat kejadian memberitahunya dia sebenarnya tersilap rumah.

Mangsa yang bekerja dengan syarikat PricewaterhouseCoopers sempat diberi rawatan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan mati selepas itu.

Pada sidang media hari ini, Ketua Polis Renee Hall berkata, pihaknya mengambil sampel darah pegawai polis terbabit untuk memeriksa tahap kandungan dadah dan alkohol.

Dia mengesahkan wanita itu adalah polis berkulit putih namun tidak memberitahu sama ada penyiasat mempercayai kejadian tembakan itu ada kaitan dengan isu perkauman.

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 11:06pm
d