global

Desak tingkat isu pemanasan global

Oleh AFP

SAN FRANCISCO: Satu bantahan berkaitan cuaca merentasi zon masa di dunia semalam memuncak di bandar Amerika Syarikat (AS) di sini, di mana ribuan berarak dalam cubaan memalukan pemimpin politik supaya meningkatkan tindakan terhadap isu pemanasan global.

Dalam suasana penuh pesta, disinari terik matahari, penunjuk perasaan dari seluruh negeri dan bandar berarak dari Embarcadero Plaza sambil memukul dram dan membawa kain rentang serta poster.

Mesej dominan adalah dua kali ganda: mempercepatkan peralihan kepada tenaga diperbaharui di negara kuasa dunia berbanding bahan api fosil pemanas planet dan melindungi penduduk di tempat paling terdedah kesan cuaca termasuk kemarau, gelombang panas dan taufan.

Beberapa slogan ditujukan secara langsung kepada Washington.

“Tenaga Alternatif, bukan Fakta Alternatif,” sementara kata-kata lebih berani bertulis: “Lebihkan Sains, Kurangkan Mengarut” sementara yang ketiga “Pertahan Demokrasi: gulingkan anjing Putin,” jelas menyasar Presiden Donald Trump kerana memilih keluar dari perjanjian iklim Paris 2015 serta bergerak secara agresif memansuhkan dasar perubahan cuaca penyandangnya, Barack Obama.

Ramai penunjuk perasaan berarak untuk kali pertama.

“Kami bukan jenis yang suka membantah. Namun demi ini, kami terpaksa keluar. Terlalu banyak yang dipertaruhkan,” kata Mariko Eastman, 65, bercakap bagi pihak suaminya, Dick, 81.

“Perubahan iklim bukan satu topik remeh lagi. Lebih ramai orang melihat bagaimana industri bahan api fosil pada akhirnya bertanggungjawab untuk krisis cuaca. Bahan api fosil perlu dipastikan terus berada dalam tanah,” kata Payal Parekh, pengarah program untuk 350.org, pertubuhan payung bagi ratusan kumpulan aktivis di seluruh dunia.

California, dianggarkan ekonomi terbesar kelima di dunia, komited terhadap cita-cita tinggi mengurangkan pelepasan karbon dioksida untuk tempoh tiga dekad akan datang.

Gabenor Jerry Brown mengetuai satu pakatan rantau kecil negara dan bandar yang turut mengambil tindakan agresif berkaitan iklim. Ramai akan menghadiri Sidang Kemuncak Cuaca Global minggu depan di bandar pelabuhan itu.

Namun di negerinya sendiri, Brown dikecam kerana membenarkan lanjutan ekstrak gas asli dan minyak di bawah pengawasannya.

Bantahan di sini dan tempat lain dilakukan ketika rundingan iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bergelut menghidupkan Perjanjian Paris, yang mana negara menyertainya berusaha memastikan peningkatan suhu global berada jauh di bawah paras dua darjah Celsius.

Penganjur perarakan cuaca global berkata, kira-kira 450 kumpulan akar umbi mengadakan hampir 1,000 acara di lebih 90 negara.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 11:32am
d