global

Gempa bumi 6.9 landa pulau terpencil New Zealand

Oleh AFP

WELLINGTON: Gempa bumi kuat berukuran 6.9 menggegarkan Kepulauan Kermadec yang terpencil di New Zealand hari ini tetapi pihak berkuasa berkata tiada ancaman tsunami.

Ia berlaku pada jam 4.19 petang waktu tempatan pada kedalaman 111 kilometer, dengan pusat gegaran terletak 770 kilometer ke timur laut Auckland, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat.

“Berdasarkan data sedia ada, tiada ancaman tsunami susulan gempa bumi itu,” menurut kenyataan Pusat Amaran Tsunami Pasifik beribu pejabat di Hawaii.

Kepulauan Kermadec yang tidak berpenghuni adalah gugusan pulau terletak paling utara New Zealand.

Ia juga sebahagian Lingkaran Api Pasifik, pusat gunung berapi dan aktiviti gempa bumi.

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 2:26pm
d