global

Tikus 'perisa tambahan' stimbot

Oleh Agensi

BEIJING: Sebuah restoran di timur China ditutup selepas seorang wanita hamil menemui bangkai tikus dalam hidangan stimbot sedang dinikmatinya, malah pemilik premis itu turut menawarkan wang untuk membantunya menggugurkan kandungan sekiranya bimbang mengalami komplikasi akibat kejadian berkenaan.

South China Morning Post melaporkan, seorang lelaki bernama Ma dari Weifang, wilayah Shandong, menceritakan pengalaman isterinya menemui bangkai tikus dalam sup sedang dijamahnya di restoran Xiabu Xiabu.

Kankan News memetik Ma mendakwa pekerja restoran memaklumkannya: “Jika kamu risaukan keadaan bayi kamu, kami akan memberikan 20,000 yuan (RM12,000) untuk menggugurkannya.”

Menurutnya, restoran berkenaan menawarkan pampasan 5,000 yuan (RM3,000) dan dia bersedia membincangkan perkara itu selepas isterinya selesai menjalani pemeriksaan.

Shanghaiist melaporkan, tiada sebarang transaksi antara Ma dan restoran berkenaan, manakala wartawan yang cuba menghubungi premis itu dimaklumkan kes itu sedang disiasat pihak berkuasa.

Biro Pemantauan Pasar di Kuiwen, Weifang, mengesahkan menerima aduan terhadap restoran berkenaan pada Jumaat lalu.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 8:02pm
d