global

Penduduk dunia tak gembira

Oleh Reuters

LONDON: Tahap kebahagiaan di kalangan penduduk dunia berada di paras terendah dalam tempoh satu dekad, menurut satu keputusan tinjauan yang disiarkan hari ini.

Ia juga menunjukkan bilangan orang yang mengakui rasa tertekan dan diselubungi kebimbangan semakin meningkat.

Republik Afrika Tengah (CAR) yang dilanda konflik, adalah tempat paling tidak bahagia tahun lalu diikuti Iraq di tempat kedua, menurut tinjauan Gallup.

“Mengambil kira keseluruhannya, penduduk dunia semakin tertekan, risau dan sakit di paras tertinggi hari ini berbanding sebelumnya, kata Pengarang Urusan Gallup, Mohamed Younis, mengenai tinjauan itu.

Gallup menemuramah lebih 154,000 orang di 146 negara sama ada mereka merasa sakit, khuatir, tertekan, marah atau sedih pada hari sebelumnya.

Ia juga menyatakan bahawa keadaan penduduk global adalah yang paling tidak gembira sejak tinjauan pertama mengenainya dilakukan pada 2006.

Penduduk Sub-Sahara Afrika mendahului dari segi itu manakala 24 daripada 35 negara mencatat keadaan tidak bahagia terburuk tahun lalu dalam tempoh 10 tahun, kebiasaannya berpunca daripada ketidakpuasan hati mengenai sistem penjagaan kesihatan dan menyebabkan ramai terpaksa berlapar.

Negara lebih kaya tidak terkecuali daripada ‘mood’ ini dengan kira-kira separuh warga Amerika yang diwawancara mengakui tertekan.

Pakar ekonomi, Jan-Emmanuel De Neve menyifatkan keadaan itu membimbangkan ketika semakin ramai orang menjadi kaya dan kemajuan dicapai.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 4:33pm
d