global

'Kem latihan' elak ekstremisme

Oleh Reuters

BEIJING: China menafikan ia memberi layanan buruk kepada penduduk Islam di Xinjiang sebaliknya mendidik sebahagian mereka menerusi kursus latihan untuk mengelakkan penularan ekstremisme.

Pegawai China menyifatkan langkah itu lebih baik berbanding Eropah yang gagal menangani masalah itu.

Laporan penahanan beramai-ramai etnik Uighur dan etnik Islam lain di wilayah barat China itu mengundang kemarahan antarabangsa, memaksa pentadbiran Presiden Donald Trump mempertimbangkan sekatan terhadap pegawai dan syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan penderaan hak asasi manusia.

“Ia bukan layanan buruk. Ia mungkin bukan jalan terbaik tetapi cara terbaik menangani ekstremisme Islam atau agama lain kerana Barat gagal berbuat demikian dalam berhadapan militan Islam.

“Lihat sahaja Belgium, Paris dan beberapa negara Eropah lain. Anda gagal,” kata pengarah publisiti Biro Hal Ehwal Hak Asasi Manusia di Pejabat Penerangan Majlis Negara, Li Xiaojun.

Katanya, apa yang dilakukan China adalah menubuhkan pusat pendidikan.

Beliau berkata, ia bukan pusat tahanan atau kem pembelajaran semula yang disifatkan sebagai ‘produk tanda dagangan negara Eropah timur’, merujuk kepada kem tahanan Gulag di Soviet ketika Perang Dingin.

“Bagi menjelaskan, ia umpama latihan vokasional, seperti anak pergi ke sekolah latihan vokasional untuk mendapatkan kemahiran lebih baik dan kerja bagus selepas tamat belajar.

“Namun pusat latihan dan pendidikan ini cuma menerima pelatih untuk jangka pendek, sebahagiannya cuma lima hari, ada tujuh hari, 10 hari, sebulan, dua bulan,” katanya.

Islam adalah baik pada pandangan China tetapi pelampau menjadi musuh kepada kemanusiaan, katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 11:54am
d