global

Brexit susahkan rakyat Britain

Oleh Agensi

London: Jika persetujuan antara Britain dengan Kesatuan Eropah (EU) tidak dicapai menjelang pertengahan November depan, rakyat negara itu akan menghadapi banyak masalah birokasi, termasuk aspek imigresen, lesen memandu selain kejatuhan nilai hartanah serta peningkatan pengangguran.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Theresa May, kelmarin, menggariskan kesan dan masalah bakal dihadapi dalam dokumen 28 muka surat selepas mesyuarat khas Kabinet, kelmarin, memberi kebenaran kepada May untuk tidak menerima syarat EU.

Britain akan keluar dari EU secara rasmi pada Mac tahun depan.

Daily Mail melaporkan, tanpa persetujuan, termasuk kerjasama imigresen dan pemanduan itu, rakyat Britain perlu membayar permit antarabangsa sebanyak £5.50 untuk menggunakan kereta mereka di negara EU.

Rakyat Britain yang tinggal atau bekerja di negara EU perlu memiliki lesen memandu negara terbabit dan mungkin perlu menduduki ujian memandu sekali lagi.

Namun permit itu hanya akan mula dikeluarkan Februari tahun depan, menimbulkan kebimbangan kesesakan dan kekecohan apabila jutaan orang memohonnya pada saat-saat akhir sebelum Mac.

Mereka juga perlu memperbaharui pasport jika tarikh tamat tempohnya kurang enam bulan untuk memasuki negara EU yang pastinya menyusahkan pelancong serta ahli perniagaan.

Rakyat Britain tidak lagi boleh menggunakan pasport EU dan negara itu akan mengeluarkan pasport sendiri berwarna biru tetapi hanya pada hujung 2019.

Mereka juga berkemungkinan dikenakan bayaran tambahan perayauan antarabangsa untuk telefon bimbit.

Britain juga tidak lagi akan mendapat data serpihan satelit serta meteor yang bakal jatuh menyebabkan ia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat.

Guardian melaporkan, Gabenor Bank of England, Mark Carney memberitahu mesyuarat Kabinet itu, harga rumah berkemungkinan jatuh antara 25 hingga 30 peratus selama tiga tahun selepas Britain keluar dari EU.

Beliau memberi amaran berkemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi di Britain seperti krisis kewangan 2008 dan kadar pengangguran akan meningkat kepada dua digit peratusan.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 3:11am
d