global

Banduan lolos diri guna lori sampah

Oleh AFP

YANGON: Lebih 30 banduan yang berjaya lari daripada penjara di Myanmar mungkin cuba untuk masuk ke Thailand, kata seorang pegawai, hari ini

Jangkaan itu disuarakan sehari selepas mereka merampas sebuah lori sampah dan memandu merempuh pintu pusat tahanan untuk melarikan diri.

Mereka lari dari penjara Hpa-An di negeri timur, Karen yang terletak dekat dengan Thailand pada pagi semalam.

Media rasmi memberitahu, 10 daripada 41 banduan yang lari itu berjaya ditahan semula dan anggota keselamatan sedang memburu baki tahanan di beberapa perkampungan berdekatan.

Berita banduan berjaya melarikan diri menimbulkan ketakutan kepada penduduk kampung, kata pegawai tempatan, Khin Thet Mar.

“(Banduan yang lari) tidak ada makanan atau wang untuk dibelanjakan jadi penduduk beranggapan mereka akan diugut membantu tahanan itu.

“Mereka juga mungkin cuba bersembunyi di Thailand tetapi pihak berkuasa sedang berusaha menahan mereka semula dengan menyekat laluan ke sana,” katanya.

Lori sampah yang digunakan banduan itu sudah ditemui di satu kawasan berlumpur kira-kira 200 kilometer jauhnya di jalan raya menuju smepadan Thailand, kata akhbar The Global New Light of Myanmar.

Ketua banduan terbabit dilaporkan menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana terbabit dalam pengedaran dadah, memiliki senjata api haram dan cuba membunuh.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 3:04pm
d