global

Cekup sindiket 'talian cinta'

Oleh Agensi

BANGKOK: Pasukan keselamatan Thailand berjaya menumpaskan lapan kumpulan sindiket penipuan 'talian cinta' selepas menahan 17 orang, lima daripadanya rakyat Nigeria dan selebihnya warga tempatan.

Mereka dituduh menipu 48 wanita Thai hingga mangsa kerugian hampir 6 juta baht (RM760,485) apabila terpedaya dengan janji manis 'kekasih di talian.'

Kesemua yang ditahan disyaki menipu wanita yang berniat untuk mendirikan rumah tangga, kata pegawai polis kanan di Biro Polis Pelancong.

Akhbar Bangkok Post mendedahkan lapan kes membabitkan pelbagai penipuan yang digunakan anggota sindiket terbabit yang kebanyakannya membabitkan rayuan supaya mangsa memindahkan wang ke dalam akaun mereka.

Dalam satu kes, seorang mangsa memindahkan 1.5 juta baht (RM190,161) ke dalam akaun ahli sindiket itu.

Pegawai polis berkata, pihaknya berusaha keras untuk mengesan suspek yang terbabit dalam penipuan 'cinta di talian' sejak Januari lalu.

Malah, sehingga ini pihak polis menguruskan 140 kes dengan kerugian mangsa ditaksirkan mencapai 81 juta baht (RM10.26 juta).

Suspek yang ditahan terbabit dalam proses membuka akaun dan mengambil wang untuk diberi kepada penipu di luar negara.

Penipu itu biasanya menggunakan akaun palsu Facebook menggunakan profil gambar lelaki kacak dari negara Barat.

Dalam banyak kes, mereka memperdaya mangsa dengan mendakwa sudah hantar hadiah mahal kepada mereka tetapi mangsa perlu memindahkan wang untuk bayaran duti kastam bagi mendapatkannya.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 7:55pm
d