global

'Kami berhak tindak balas!'

Oleh Reuters

MOSCOW: Russia menyalahkan Israel Zionis itu kerana secara tidak langsung menyebabkan pesawat tenteranya ditembak jatuh berhampiran pantai Mediterranean di Syria dan mengancam bertindak balas.

Kementerian Pertahanan Russia, dalam kenyataan yang dilaporkan agensi berita negara itu, berkata pesawat peninjau Il-20 ditembak jatuh meriam antipesawat Syria, dalam kejadian yang tidak disengajakan.

Namun kementerian berkata, ia menuduh Israel bertanggungjawab kerana pada masa itu, jet pejuang Israel meningkatkan serangan udara ke atas sasaran Syria dan cuma memberikan amaran kepada Moscow seminit sebelum kejadian, tidak cukup untuk pesawat Russia terbang ke tempat selamat.

Kementerian Pertahanan berkata, 15 maut apabila pesawat Russia ditembak jatuh ketika ia hampir mendarat di pangkalan udara Hmeymim di barat Syria, yang dikawal tentera Russia.

“Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab tentera Israel, 15 askar Russia maut.

“Ini tidak langsung menunjukkan semangat kerjasama Russia-Israel.

“Kami berhak bertindak balas,” agensi berita Interfax memetik jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Igor Konashenkov, sebagai berkata.

Konashenkov menyifatkan tindakan tentera Israel itu sebagai permusuhan dan tindakan provokasi.

Terdahulu, kementerian pertahanan Russia berkata pesawat itu hilang dari radar skrin di Syria pada masa tentera Israel dan Perancis melancarkan serangan ke atas sasaran di Syria.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 7:02pm
d