global

Misteri kembar Pulau Alabat

Oleh Agensi

Manila: Sebuah pulau kecil di Filipina dikenali sebagai pulau kembar kerana ia mempunyai kira-kira 100 pasangan kembar dan sekali gus membingungkan doktor serta saintis yang membuat kajian.

Penduduk memberitahu, menurut legenda, kelahiran pasangan kembar di Pulau Alabat di wilayah Quezon bermula sejak beberapa generasi lalu.

The Mirror melaporkan, kini terdapat 78 pasangan kembar tidak seiras dan 22 kembar seiras termasuk satu pasangan kembar siam, Joy dan Joyce Magsino yang berusia 10 tahun.

Kebanyakan pasangan kembar itu gemar berpakaian sama biarpun sudah meningkat dewasa menyebabkan orang luar yang berkunjung ke situ sukar untuk membezakan mereka.

Pasangan kembar paling muda berusia empat bulan iaitu Gian dan John, manakala paling tua ialah Eudosia Meras dan Antononia Meras yang berusia 80-an.

Saintis percaya terdapat sebab genetik yang menyumbang kepada kelahiran pasangan kembar di pulau itu, namun turut mempercayai ia juga berkaitan dengan alam sekitar.

Ada yang mencadangkan supaya kajian turut dilakukan terhadap air minuman di pulau berkenaan.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 10:22pm
d