global

Polis Perancis rampas 20 tan miniatur Menara Eiffel

Oleh AFP

PARIS: Polis Perancis merampas 20 tan miniatur Menara Eiffel sebagai sebahagian daripada operasi membanteras penjualan cenderahati itu secara haram kepada pelancong di lokasi popular sekitar bandar Paris, kata sumber keselamatan.

Set lima cenderahati logam kecil itu dijual dengan harga serendah satu euro (RM4.80) di lokasi seperti muzium Louvre atau di luar kawasan Menara Eiffel sebenar, lazimnya oleh pendatang Afrika.

Hasil siasatan bersama membabitkan pihak berkuasa imigresen Perancis, membawa kepada serbuan ke atas tiga pemborong China yang disyaki mengimport menara itu dan membekalkan kepada rangkaian penjual di Paris.

Lebih daripada 1,000 kotak berisi 20 tan miniatur Menara Eiffel, dirampas dari dua depoh dan tiga kedai di rantau Paris pada Isnin dan Selasa, kata sumber keselamatan kepada AFP, mengesahkan laporan dalam akhbar Le Parisien.

Sembilan orang ditangkap sepanjang operasi itu. - AFP

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 11:24am
d