global

Pelajar 14 tahun diramal juara AGT

Oleh Agensi

Los Angeles: Seorang pelajar Britain berusia 14 tahun, Courtney Hadwin dijangka menjadi juara program realiti America’s Got Talent (AGT) yang menawarkan hadiah wang tunai wang tunai AS $1 juta (RM4.14 juta).

Pertandingan akhir program popular itu berlangsung hari ini (waktu Malaysia).

Courtney yang berasal dari Hesleden, Daerah Durham, timur laut England layak ke peringkat akhir apabila mendapat tepukan gemuruh daripada juri, Simon Cowell selepas menyanyikan lagu Born to be Wild nyanyian kumpulan Steppenwolf.

Pelajar itu mula terkenal di seluruh dunia selepas videonya yang menyanyikan lagu Hard To Handle oleh Otis Redding ketika sesi uji bakat program berkenaan menjadi tular di Internet.

Ketika berusia 12 tahun, Courtney pernah menyertai program realiti di United Kingdom, The Voice Kids dan layak ke peringkat akhir di bawah bimbingan anggota kumpulan McFly, Danny Jones.

“Saya terkejut kerana berjaya ke peringkat akhir. Saya tidak fikir The Voice Kids memberi persediaan secukupnya untuk menyertai pertandingan sebesar ini di AGT. Ia amat besar.

“Pada peringkat ini, saya lebih berasa ghairah berbanding perasaan gemuruh. Secara jujurnya, memandangkan ia peringkat akhir dan berada di sini adalah lebih daripada apa yang boleh saya harapkan,” kata Courtney kepada The Mirror.

Sementara itu, Cowell menyifatkan remaja itu sebagai ‘gila’ selepas melihatnya menyanyi dengan nada tinggi sambil menari.

“Anda adalah satu keseronokan, ia sangat asli. Pada awalnya, saya lihat anda gemuruh, namun selepas itu anda bertukar menjadi seperti orang gila di atas pentas. Itu sebabnya, saya amat menyukai persembahan anda,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 3:29pm
d