global

Buku kisah Trump laris, lebih sejuta terjual

Oleh AFP

NEW YORK: Buku tulisan wartawan penyiasat Bob Woodward, “Fear: Trump in the White House”, menjadi buku terlaris selepas jualannya mencecah 1.1 juta naskhah pada minggu pertama diedarkan.

Menurut penerbit buku Simon and Schuster, ia menjadi buku paling laris pernah dijual dalam sejarah syarikat itu.

Buku yang mendedahkan maklumat dalaman dan cara pentadbiran Presiden Donald Trump beroperasi, terjual 900,000 pada 11 September lalu, hari pertama ia dilancarkan, termasuk versi cetak, audio dan digital.

“Hanya satu perkataan sudah boleh menggambarkan sambutan terhadap ‘Fear’ iaitu mengagumkan,

“Lebih penting ia adalah penghargaan pembaca dan pengulas kepada integriti Woodward,” kata presiden syarikat itu, Jonathan Karp, 94.

Pencapaian buku itu mengatasi “Fire and Fury” oleh Michael Wolff, juga mengenai pentadbiran Trump, yang terjual lebih satu juta naskhah pada minggu pertama diedarkan Januari lalu.

Nukilan Wolff itu diikuti buku tulisan bekas ketua FBI, James Comey, “A Higher Loyalty” dan “Unhinged” oleh bekas penasihat Trump, Omarosa Manigault Newman.

Trump cuba menafikan beberapa dakwaan Woodward yang terkenal dengan liputan skandal Watergate dan peranan yang dimainkannya dalam peletakan jawatan Presiden Richard Nixon pada 1974.

Beliau menggelar buku itu sebagai satu ‘jenaka’, ‘penipuan’ dan satu lagi siri serangan terhadapnya.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 3:29pm
d