global

Hizbullah bergerak ke Syria

Oleh Reuters

BEIRUT: Pergerakan Hizbullah akan terus bergerak dan beroperasi di bumi Syria sehingga keputusan lain dibuat, kata pemimpinnya, Sayyed Hassan Nasrallah.

Pemimpin pergerakan Syiah yang disokong Iran dan sekutu rapat Damsyik itu juga memuji perjanjian Russia dengan Turki mengenai Idlib sebagai langkah yang boleh membawa kepada penyelesaian politik di Syria.

Pada masa sama, Nasrallah juga memberitahu, bilangan pejuangnya akan dikurangkan apabila medan perang di seluruh Syria semakin berkurangan.

“Kami akan terus berada (di Syria) sekalipun selepas penyelesaian dicapai di Idlib. Kehadiran kami diperlukan dan ini juga atas keizinan kepemimpinan Syria,” katanya secara langsung kepada penyokongnya di selatan Beirut menjelang sambutan hari Ashura.

“Sejauh mana ancaman dan bila medan perang semakin senyap sudah tentu akan mempengaruhi bilangan pejuang di sana. Syria menuju ketenangan,” katanya lagi.

Hizbullah memberi sokongan penting kepada tentera Syria dalam perang yang berlangsung tujuh tahun dan membantu menawan semula wilayahnya.

“Kami akan terus berada di sana sehingga keputusan lain dibuat,” kata Nasrallah.

Nasrallah memuji keputusan diplomasi Iran, Russia dan Turki bagi mengecualikan Idlib daripada menjadi sasaran ketenteraan yang tentu membawa kepada tragedi kemanusiaan lebih besar.

Isnin lalu, Russia dan Turki bersetuju menolak penyelesaian ketenteraan di Idlib, kubu terakhir penentang Syria selain wilayah utara Aleppo.

Mereka menyokong mewujudkan zon bebas tentera baru yang membenarkan pemberontak ‘radikal’ berundur menjelang tengah bulan depan.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 5:53pm
d