global

Ajal dalam karavan ditiup ribut

Oleh Agensi

DUBLIN: Seorang pelancong wanita warga Switzerland maut selepas karavan yang dinaikinya ditiup angin kencang berpunca daripada Ribut Ali hingga jatuh dari tebing tinggi ketika melancong di Connemara, County Galway, Ireland kelmarin.

Elvira Ferrari, 56, baru tiba di lokasi pelancongan popular itu sebelum terperangkap dalam ribut ganas berkenaan yang membawa angin kencang sekuat 164 kilometer sejam.

Menurut MailOnline, wanita itu yang tiba sehari sebelum kejadian pergi ke Taman Karavan dan Perkhemahan Clifden Eco Beach di Claddaghduff sebelum menyewa kenderaan itu.

Anggota penyelamat bergegas ke tepi pantai pada pagi kelmarin selepas orang ramai melihat sebuah karavan di dalam laut.

Karavan itu dipercayai ditiup ribut dan jatuh dari tebing setinggi sembilan meter terus ke dalam laut sebelum tenggelam.

Mayat wanita itu ditemui terdampar di tepi pantai berhampiran.

Pelancong itu antara dua mangsa yang maut dalam ribut berkenaan.

Seorang lagi mangsa lelaki berusia 20 tahun yang maut dihempap pokok di County Armagh di Ireland Utara.

Semalam satu lagi ribut yang bergerak dari Atlantik mencetuskan amaran kemungkinan berlakunya banjir dan gangguan perjalanan selepas Ribut Ali yang melanda Britain dan Ireland mencetuskan huru-hara.

Ketika Ireland Utara dan Scotland dilanda angin kencang, ribut berkenaan dijangka membawa hujan lebat walaupun tidak seburuk yang melanda Wales dan sebahagian besar England semalam.

Pejabat kaji cuaca turut memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan angin kencang yang boleh menerbangkan bumbung bangunan dan menyebabkan pokok tumbang.

Kelmarin, seorang wanita di Cheshire, barat laut England cedera parah selepas keretanya dihempap pokok tumbang.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 11:10am
d