global

Pelajar didakwa cuba curi pesawat

Oleh Reuters

ORLANDO: Seorang pelajar berusia 22, Nishal Sankat, tahun didakwa kelmarin dengan cubaan mencuri jet penumpang di lapangan terbang Orlando, yang menyaksikan beliau melompat pagar dan memasuki pesawat itu tetapi segera ditahan.

Pelajar Institut Teknologi Florida itu mempunyai lesen juruterbang komersil tetapi tidak berkelayakan menerbangkan pesawat Airbus 321 yang cuba dicuri itu, kata jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando Melbourne, Lori Booker.

Sankat tidak berjaya menggerakkan jet itu.

“Tiada bukti untuk menunjukkan ia ada kaitan dengan keganasan,” kata Ketua Polis Melbourne, David Gillespie.

Motif lelaki itu tidak diketahui, kata Gillespie, selepas polis menggeledah rumah dan kenderaannya dan tidak menemui senjata atau bahan letupan.

Lelaki berkenaan juga tidak berada dalam pengaruh alkohol.

Sankat meletakkan keretanya kira-kira 140 meter dari pesawat itu awal kelmarin dan terus berlari sebelum melompat pagar, kata Booker.

Selepas tiba di dek penerbangan pesawat, dua juruteknik dan dua pengawal keselamatan menangkap Sankat sebelum beliau sempat menghidupkan jet itu.

“Kami bangga dengan kawalan keselamatan. Dalam maa dua minit, bukan sahaja beliau ditangkap, tetapi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku,” katanya.

Pesawat America Airlines itu berada di tempat penyelenggaraan untuk pemasangan jalur lebar WiFi, kata jurucakap syarikat penerbangan dalam emel.

Sankat didakwa dengan cubaan mencuri pesawat, memecah masuk dan menceroboh, kata ketua polis Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando Melbourne, Renee Purden.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 8:46pm
d