global

Penghormatan terakhir Presiden Vietnam

Oleh AFP

HANOI : Ratusan tetamu berpakaian serba hitam yang membawa kalungan bunga dan colok berhimpun hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Presiden negara itu, Tran Dai Quang yang meninggal dunia Jumaat lalu selepas sekian lama jatuh sakit.

Pegawai kerajaan, anggota keluarga, anggota polis dan sami berjubah keemasan membentuk satu barisan panjang di Rumah Pengebumian Nasional di pinggir ibu negara yang menempatkan keranda mendiang bersama potret pemimpin berusia 61 tahun itu.

Ahli keluarga mendiang dilihat bersimpuh dalam keadaan sugul di sisi keranda dengan mengenakan pakaian hitam dan lilit kepala berwarna putih sambil menyambut kehadiran orang ramai yang sebahagian besarnya turut sama mengalirkan air mata.

Antara pemimpin kanan yang turut hadir dengan membawa kalungan bunga berwarna merah, kuning dan putih adalah Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc dan ketua Parti Komunis, Nguyen Phu Trong.

Tempoh berkabung ditetapkan selama dua hari bermula hari ini.

Barisan pemimpin Parti Komunis Vietnam memuji jasa dan sumbangan mendiang terhadap parti yang disertainya sejak tahun 1980 itu.

“Beliau menabadikan seluruh hidupnya kepada parti dan memberikan banyak sumbangan kepada kemerdekaan negara. Pemergian mendiang adalah satu kehilangan amat besar kepada parti, negara dan rakyat,” kata Timbalan Perdana Menteri, Truong Hoa Binh selepas upacara keagamaan selesai dijalankan.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 12:56pm
d