global

'Halau saja Huthi bukan berunding!'

Oleh AFP

NEW YORK : Presiden Yaman menolak cubaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan rundingan damai bersama pemberontak Huthi dan berkata rancangan itu pasti akan gagal.

Presiden Abedrabbo Mansour Hadi berkata, peperangan bersama pemberontak itu tidak boleh diselesaikan hanya menerusi rundingan sebaliknya memerlukan langkah yang lebih tegas dari itu.

“Semua cubaan untuk mewujudkan kedamaian bersama kumpulan itu pasti akan menemui kegagalan,” katanya pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) sini sambil menggambarkan pasukan berkenaan sebagai ekstremis yang menggunakan taktik ala samseng dan penuh dengan kebencian.

“Keamanan tidak boleh dicapai dengan mengajak kumpulan samseng ini melakukan perkara yang biasa dibuat oleh golongan pemimpin,” katanya.

PBB mengajak kerajaan Hadi dan Huthi ke Geneva untuk memulakan semula rundingan yang gagal dilaksanakan dua tahun lalu.

Pasukan sokongan Iran itu bagaimanapun enggan berundur dari ibu negara Yaman, Sanaa dan menuntut pembebasan anggota mereka yang cedera serta semua tawanan pada saat akhir.

Menurut Hadi, komuniti antarabangsa perlu sepakat dan berpegang pada resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang menggesa pemberontak Huthi itu berundur dari wilayah dikuasai mereka.

Arab Saudi sejak tahun 2015 telah mengetuai kempen ketenteraan untuk mengembalikan kuasa kerajaan pimpinan Hadi dan mengusir pemberontak Huthi.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 11:26am
d