global

Kerabat diraja, artis jadi tumpuan di PBB

Oleh Reuters

New York: Puteri dan selebriti Hollywood menyerlah lebih daripada biasa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini, di mana pemimpin dunia berjumpa untuk membincangkan sasaran global bagi menamatkan kemiskinan dan ketaksamaan.

Ratu Rania dari Jordan menggesa pemerkasaan wanita Arab yang tertindas akibat perang saudara dan keganasan, selain menekankan betapa pentingnya peranan wanita dalam mengekang keganasan serta konflik.

“Wanita Arab berusaha keras memastikan keluarga mereka terus bersatu dalam keadaan yang sarat dengan dugaan. Malah dalam keadaan tidak stabil juga kita melihat pelbagai usaha terhadap pendidikan serta kesihatan,” katanya pada persidangan HeForShe di New York City.

Sementara itu, Puteri Mahkota Mary dari Denmark berucap mengenai hak pendatang dan pelarian wanita serta budak perempuan, manakala Princess Mabel van Oranje dari Belanda memperjuangkan penghapusan perkahwinan kanak-kanak.

Perlindungan pendatang dan penghapusan perkahwinan kanak-kanak antara sasaran global diterima sebulat suara negara anggota PBB, tiga tahun lalu. Tujuh belas sasaran itu bertujuan menghapuskan masalah seperti kemiskinan, konflik dan ketaksamaan menjelang 2030.

Peranan wanita semakin diketengahkan selepas jutaan orang memprotes di seluruh dunia terhadap isu membabitkan keganasan seks atau gangguan seksual seperti #MeToo, selain She Decides yang menyokong hak reproduktif peribadi.

Artis Hollywood Anne Hathaway mempromosikan kesamarataan jantina, termasuk aktres, manakala bintang YouTube Lily Singh mempromosikan agensi kanak-kanak PBB, UNICEFF.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 9:57pm
d