global

'Jangan berani campur tangan!'

Oleh AFP

NEW YORK (PBB): Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen semalam, memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kesahan pemilihannya ke jawatan itu dalam pilihan raya baru-baru ini, yang mencetuskan kontroversi.

Hun Sen mengeluarkan kenyataan itu selepas beberapa pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meragui kesahan pilihan raya berkenaan dan sama ada ia boleh dianggap sebagai demokratik atau sebaliknya.

Parti pimpinan Hun Sen, Parti Rakyat Kemboja, memenangi semua 125 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya Parlimen itu, selepas beliau bertindak memenjarakan beberapa pencabar politik dan wartawan.

Hun Sen sudah memegang jawatan itu selama lebih 33 tahun.

Majlis Hak Asasi Manusia PBB, dalam laporannya yang dibentangkan oleh Wakil Khas PBB bagi Kemboja, Rhona Smith, berkata pilihan raya itu menjejaskan demokrasi pelbagai parti dan menjadikan ia sebagai satu sejarah bagi tempoh lima tahun akan datang.

Namun, Hun Sen ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di sini, memberi amaran terhadap campur tangan pihak luar dalam politik Kemboja.

“Hak rakyat Kemboja untuk memilih dan keputusan pilihan raya yang sah bukanlah satu perkara yang menjadi persoalan atau perdebatan.

“Namun, bagi pihak luar, yang dalam misi untuk campur tangan dalam hal ehwal tempatan Kemboja masih gagal untuk melihat kualiti dan integriti proses pilihan raya yang dijalankan, dengan mengeluarkan kenyataan menentang atau menyerang hasil keputusan pilihan raya itu.

“Tindakan itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap rakyat Kemboja,” kata Hun Sen.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 11:04am
d