global

Serena cetus kontroversi

Oleh AFP

SYDNEY: Bintang tenis terkemuka, Serena Williams, mencetuskan sensasi internet sekali lagi hari ini dengan beraksi separuh bogel untuk video ketika menyanyikan lagi ‘I Touch Myself’ untuk meningkatkan kesedaran barah payudara.

Dalam video Instagram, Williams menutup payudaranya dengan tangan sambil menyanyikan versi Australia lagu kumpulan The Divinyls’ pada 1991 yang popular dalam menyokong kempen Rangkaian Barah Payudara Australia.

“Bagi Bulan Kesedaran Payudara, saya merakamkan versi ‘I Touch Myself’ The Divinyls’ yang popular seluruh dunia untuk mengingatkan wanita supaya kerap membuat pemeriksaan sendiri.

“Ya, ini di luar zon selesa tetapi saya mahu lakukannya untuk ini adalah isu yang memberi kesan kepada semua wanita tanpa mengira warna kulit, di seluruh dunia.

“Pengesanan awal adalah kuncinya, ia menyelamatkan banyak nyawa,” kata Williams.

Lagu itu ditulis bersama penyanyi Divinyls Australia, Chrissy Amphlett, yang meninggal dunia akibat barah payudara lima tahun lalu pada usia 53 tahun.

Video itu ditonton lebih 1.3 juta kali dalam 10 jam pertama selepas disiarkan awal hari ini dengan peminat memuji juara Grand Slam 23 kali itu kerana berani menyanyikan lagu itu.

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 12:42pm
d