global

Pembunuh bakal isteri terlepas hukuman mati

Oleh Agensi

JURUELEKTRIK dan teman wanitanya dipenjara seumur hidup kerana bersubahat membunuh bakal isterinya, yang ditembak mati hanya lima hari sebelum majlis perkahwinan mereka, Disember tahun lalu.

Mahkamah daerah Chumphon, Thailand memerintahkan Ronnachai Panchart, 26, dan kekasihnya Naruemol Chuaysombat, 23, dipenjara kerana membunuh Nontiya Krowjatturat, 25, pada 19 Disember tahun lalu, lapor Bangkok Post.

Pasangan itu pada mulanya dihukum mati, namun hukuman berkenaan dikurangkan kepada penjara seumur hidup selepas mereka membuat pengakuan penuh selain memberi keterangan yang berguna.

Mahkamah turut mengarahkan mereka membayar 500,000 baht (RM64,000) untuk kos pengebumian, selain pampasan 2.5 juta baht (RM320,000) kepada keluarga mangsa.

Ronnachai dan Nontiya dijadualkan berkahwin pada 24 Disember tahun lalu, tetapi mereka bertengkar selepas mangsa melihat wanita lain di rumah tunangnya beberapa hari sebelum majlis berlangsung, lapor Pattaya One News.

Mangsa, pegawai pergigian kerajaan, ditembak mati di asramanya pada jam 1 pagi, 19 Disember 2017.

Berita berkaitan:

Lelaki curang tembak bakal isteri

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 12:57am
d