global

Korban tsunami meningkat 844 mangsa

Oleh Reuters

PALU: Angka mangsa tsunami di Sulawesi mencapai 844 hari ini dengan ribuan dikhuatiri tertimbus dengan seorang wanita ditemui hidup selepas ditemui dalam runtuhan semalam di daerah Balaroa berdekatan Palu, di mana rumah penduduk ditelan bumi selepas gempa melanda menyebabkan tanah mendap sebelum tsunami berlaku.

Sementara itu, pengebumian beramai-ramai diadakan manakala penduduk yang terselamat menghadapi masalah mendapatkan makanan dan tempat perlindungan selepas kediaman musnah.

Berita sedih terus diperolehi dari lokasi terbabit termasuk kematian 34 kanak-kanak di sebuah perkhemahan Kristian, puluhan dibimbangi terperangkap dalam runtuhan beberapa hotel dan sebuah pasar raya di kota Palu, 1,500 kilometer ke timur Jakarta.

Malah, beratus-ratus lagi mangsa juga dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus beberapa perkampungan.

Sebuah agensi bantuan menyatakan, lebih banyak peralatan dan petugas bantuan diperlukan untuk mengesan mayat.

Kebanyakan kematian adalah di Palu, bandar yang menempatkan 380,000 penduduk di mana satu perkuburan besar digali untuk mengebumi mangsa sebaik identiti mereka disahkan.

Bagaimanapun, tiga hari selepas gempa disusuli tsunami, sejauh mana kemusnahan dan bencana belum diketahui kerana hubungan terputus dengan kawasan terpencil dan berdekatan pantai.

Paling merisaukan ialah keadaan di Donggala yang mempunyai 300,000 penduduk di utara Palu dan berdekatan pusat gempa yang terputus hubungan sehingga kini.

Empat daerah di sekitar kawasan bencana mempunyai penduduk seramai 1.4 juta orang.

Gambar menunjukkan sisa kayu, kenderaan dan pokok tersadai manakala bumbung bangunan pecah dan jalan raya terbelah.

Akses ke banyak kawasan tersekat kerana jalan raya rosak, tanah runtuh berlaku dan jambatan pula runtuh.

Saksi berkata, orang ramai berbaris panjang di stesen minyak sejauh beberapa kilometer manakala konvoi bantuan menghantar makanan, air dan bahan api menunggu untuk diiringi polis bagi mengawal agihan.

Syarikat tenaga negeri memberitahu ia akan menghantar bahan api sebanyak 4,000 liter dari udara manakala agensi logistik Indonesia membekalkan beratus-ratus tan beras.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 5:00pm
d