global

7 tahun sistem amaran tak beroperasi

Oleh Agensi

JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) membuat pendedahan mengejutkan di sebalik tragedi tsunami yang melanda Palu di Sulawesi menyebabkan ratusan, mungkin ribuan terbunuh apabila mengakui boya amaran tsunami sebenarnya tidak beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

Menurut laporan media Indonesia, jurucakap agensi itu, Sutopo Purwo Nugroho, berkata alat pengesan berkenaan tidak lagi beroperasi sejak 2012.

“Tidak ada alat pengesan sejak 2012 hingga sekarang. Memang sudah tidak ada,” katanya.

Menurut laporan Liputan 6, beliau berkata, sistem amaran itu amat diperlukan kerana wilayah Indonesia mempunyai perairan yang luas dan terdedah kepada tsunami.

“Ia (tsunami) sering berlaku hingga mengorbankan banyak nyawa.

“Selain itu, pengetahuan masyarakat, sikap, perilaku dan jangkaan amat kurang. Kita perlu pengesan tsunami ditempatkan di lautan,” katanya.

Detik News melaporkan, antara punca alat pengesan itu tidak lagi beroperasi ialah kekangan kewangan untuk menampung kos operasi.

“Mengapa ia tidak beroperasi sejak 2012 mungkin berkaitan dengan kewangan. Kita lihat peruntukan menurun setiap tahun.

“Jika dulu peruntukan mencecah hampir dua trilion rupiah (RM555 juta) tetapi tahun ini, hanya 700 bilion rupiah (RM194 juta),” kata Sutopo.

Setakat semalam, tsunami di Sulawesi, Indonesia mengorbankan 844 nyawa setakat hari ini dengan ribuan dikhuatiri tertimbus akibat gempa bumi yang melanda wilayah itu.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 8:03pm
d