global

Hukum melampau budak tadika

Oleh Agensi

GEORGIA (Amerika Syarikat): Dua guru tadika meletak jawatan selepas dituduh menghukum dua murid dengan mengikat tangan mereka ke belakang menggunakan pengikat kabel selain mengancam mencampakkan labah-labah jika tidak berkelakuan baik.

Daily Mail melaporkan, hukuman dilaksanakan guru wanita tidak dinamakan itu berlaku di Oak View Elementary di daerah DeKalb, Isnin minggu lalu.

Guru besarnya, Sabrina Pressley dalam satu surat kepada ibu bapa dan penjaga muridnya menceritakan kejadian membabitkan kanak-kanak tadika berusia empat tahun itu yang kini disiasat pihak berkuasa.

Dua guru yang pada mulanya digantung tugas itu, kemudian meletak jawatan, Jumaat lalu.

Seorang ibu yang enggan dinamakan memberitahu WSB-TV, anaknya menunjukkan perubahan ketara selepas hukuman dilaksanakan, malah masih mengalami mimpi buruk.

Menurutnya, dia cuma tahu mengenai kejadian itu selepas ibu murid kedua mengadu kepada pentadbiran sekolah.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 9:47pm
d