global

Bogota bandar raya paling bahaya

Oleh Agensi

LONDON: Kajian mendapati Bogota ialah bandar raya paling bahaya kepada remaja dan wanita muda apabila membabitkan gangguan seksual, manakala wanita di Lima dan Johannesburg paling teruk terdedah kepada serangan seksual dan rogol.

Kajian oleh Plan International bertajuk ‘Keselamatan Wanita di Bandar Raya Seluruh Dunia’ itu menerima fakta dan pandangan hampir 400 pakar di 22 bandar raya enam benua.

Menurut laporan kajian itu, Lima adalah bandar raya paling bahaya untuk wanita keluar seorang diri, sama ada malam atau siang, manakala di Johannesburg mereka terdedah kepada perompak dan serangan seksual atau rogol.

Stockholm ialah bandar raya paling selamat daripada gangguan seksual dengan wanita boleh keluar bersendirian atau menaiki pengangkutan awam tanpa rasa bimbang.

Menurut laporan itu, gangguan seksual ialah mengacau, menggoda, mengintai, menyentuh, menunjukkan bahagian sulit dan merenung.

Sekurang-kurangnya 78 peratus pakar terbabit menggambarkan gangguan seksual sebagai risiko tinggi kepada wanita dengan 77 peratus menyatakan ia dilakukan secara terbuka di tempat awam bandar raya.

Semua pakar yang menyertai kajian itu bersetuju risiko gangguan seksual terhadap wanita amat tinggi di Johannesburg dan Bogota.\

Selain kempen kesedaran menghormati hak wanita, mereka mencadangkan pihak berkuasa bandar raya meningkatkan tahap keselamatan, termasuk mencerahkan kawasan tertentu pada sebelah malam, mengharamkan minuman keras di tempat awam serta memperbaiki undang-undang.

Pakar di Toronto berpendapat lebih ramai wanita diperlukan dalam agensi kerajaan yang bertanggungjawab merangka aspek keselamatan wanita.

“Semestinya perlu ada perubahan sikap masyarakat terhadap wanita dan hak mereka.

“Kerajaan dan pihak penguatkuasa undang-undang perlu mempunyai undang-undang untuk melindungi dan menjamin keselamatan wanita,” kata pakar di Jakarta.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 4:59am
d