global

Polis perketat kawalan di Palu

Oleh AFP

PALU: Polis memberi jaminan semalam untuk mengetatkan kawalan terhadap insiden kecurian oleh mangsa terselamat dalam insiden gempa bumi dan tsunami yang mengambil kesempatan atas situasi huru-hara itu ketika lebih 1,200 orang dipercayai maut dalam bencana melanda Sulawesi, Indonesia Jumaat lalu.

Ada laporan menyebut, pegawai melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata untuk menghalang orang ramai daripada menggeledah kedai di sini, bandar tepi pantai yang musnah akibat gempa magnitud 7.5 dan tsunami.

Hampir 200,000 orang terdesak memerlukan bantuan kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), antaranya puluhan ribu kanak-kanak.

Mangsa terselamat bergelut menahan lapar dan dahaga berikutan kekurangan bekalan makanan dan air bersih, manakala hospital tempatan dibanjiri mangsa cedera.

Polis berkata, mereka sebelum ini mengambil sikap toleransi terhadap mangsa yang terdesak mengambil makanan dan minuman daripada kedai ditutup, namun kini menahan berpuluh orang kerana mencuri komputer dan wang tunai.

“Pada hari pertama dan kedua, jelasnya tiada kedai dibuka. Orang ramai kelaparan. Mereka amat terdesak. Itu bukan masalahnya.

“Namun selepas hari kedua, bekalan makanan mula masuk, ia hanya perlu diagihkan. Kami kini menguatkuasakan semula undang-undang. Ada ATM (mesin pengeluaran wang). Ia dibuka. Jika penduduk mencuri, kami tangkap dan siasat,” kata Timbalan Ketua Polis Nasional, Ari Dono Sukmanto.

Walaupun dengan jaminan rasmi, keadaan terdesak dapat dilihat di mana-mana di bandar ini, di mana penduduk memanjat runtuhan untuk mendapatkan apa saja yang boleh diselamatkan.

Yang lain berkerumun di beberapa bangunan masih memiliki bekalan elektrik atau beratur mendapatkan air, wang atau petrol dibawa menggunakan konvoi polis bersenjata.

“Kerajaan, presiden datang ke sini, namun apa yang kami benar-benar perlukan adalah makanan dan air,” kata Burhanuddin Aid Masse, 48, kepada AFP.

Barisan panjang mendapatkan beberapa liter petrol berlangsung lebih 24 jam di sesetengah tempat. Masalah sanitasi juga semakin menimbulkan masalah.

“Orang ramai di mana-mana mahu pergi ke tandas namun tiada tandas. Justeru kami melakukannya di sepanjang jalan pada waktu malam,” kata Armawati Yarmin, 50.

Di sepanjang jalan ke Donggala, bandar besar hampir dengan pusat gempa, lebih banyak pemandangan kemusnahan. Bandar itu sendiri jelas tidak terjejas, namun di kawasan terjejas teruk, agak sukar menemui permukaan rata.

Penduduk Donggala, Farid, 48, merayu bantuan: “Jangan tumpukan semua bantuan ke Palu. Kami di Donggala tiada apa-apa.”

Angka rasmi kematian akibat tragedi di Sulawesi Tengah berjumlah 1,234 orang, menurut kerajaan.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 8:24am
d