global

Hadkan pelancong, pekerja ke Boracay

Oleh Reuters

MANILA: Filipina akan mengehadkan jumlah pelawat ke pulau peranginan terkenalnya setiap hari apabila dibuka semula kepada pelancong 26 Oktober ini selepas usaha pemulihan enam bulan selesai, kata seorang pegawai alam sekitar semalam.

Boracay, terletak di utara pulau tengah Panay, terkenal kerana pasir putih, air berwarna biru firus, hiburan malam meriah dan sukan air tanpa sempadan, menarik hampir dua juta pelancong domestik dan asing tahun lalu.

Namun April tahun ini, Presiden Rodrigo Duterte mengarahkan pulau terkenal itu ditutup, menggelarnya ‘kolam najis’ kerana kumbahan dibuang ke dalam laut dan bangunan dibina terlalu hampir dengan pantai.

Kira-kira satu pertiga daripada antara 600 hingga 700 resort di Boracay, terletak 308 kilometer dari ibu kota ini, beroperasi tanpa permit, kata pihak berkuasa.

Hanya 19,000 pelancong dibenarkan memasuki pulau itu pada hari tertentu, dengan jumlah pekerja ditetapkan pada 15,000 orang sehari, kata pegawai alam sekitar, Sherwin Rigor dalam wawancara televisyen.

Hanya separuh daripada 12,000 bilik hotel sedia ada dibenarkan dibuka setiap hari, tambahnya, untuk memastikan jumlah tetamu di pulau kecil seluas 10 kilometer persegi itu, di bawah ‘kapasiti dibenarkan’.

Rigor yang juga penolong setiausaha Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Semula Jadi menambah, pihak berkuasa akan mengharamkan parti tepi pantai dan aktiviti seperti makan, merokok dan minum di sana.

Penutupan Boracay yang menyumbang hasil lebih AS$1 bilion (RM4.14 bilion) setahun kepada Filipina, menjejaskan keluaran dalam negara kasar dalam suku kedua negara itu.

Disiarkan pada: October 4, 2018 @ 11:06am
d