global

Macam 'Robin Hood'

Oleh Agensi

ROME: Seorang bekas pengurus bank di sebuah bandar kecil di Itali digelar ‘Pengurus Bank Robin Hood’ selepas mengambil 1 juta euro (RM4.76 juta) wang dalam akaun pelanggan kaya selama beberapa tahun bagi membantu pelanggan miskin yang layak membuat pinjaman.

Ia bermula ketika krisis kewangan global pada 2009 apabila bank menukar syarat penilaian untuk meluluskan pinjaman.

Gilberto Baschiera yang ketika itu bertugas sebagai pengurus bank di Forni di Sopra didatangi seorang lelaki miskin yang mahu membuat pinjaman kecil tetapi tidak layak berdasarkan syarat terbaru berkenaan.

Baschiera yang simpati kemudian meminjam sedikit wang daripada akaun pelanggan kaya dan memindahkan ke dalam akaun lelaki itu supaya dia layak untuk membuat pinjaman.

Dia juga meminta lelaki itu untuk segera membayar wang yang diambil berkenaan bagi mengelak tindakan itu dikesan pihak bank.

Kebaikan hati Baschiera itu segera tersebar dalam komuniti kecil Forni yang mempunyai kira-kira 1,000 penduduk dan selama beberapa tahun ramai datang untuk meminta bantuan pengurus bank berkenaan.

Bagaimanapun, tidak semua yang dibantu itu menunaikan janji dan mereka tidak membayar balik wang dipinjamkan menyebabkan aktiviti Baschiera terbongkar dan akhirnya dia didakwa di mahkamah.

Pada minggu ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Baschiera tetapi kerana ini adalah kesalahan pertamanya dan dia langsung tidak mengambil wang itu, hakim hanya mengenakan hukuman tertangguh.

Peguamnya, Roberto Mete memberitahu, walaupun terlepas hukuman penjara, Baschiera kehilangan pekerjaan dan rumahnya juga dirampas oleh kerajaan.

“Dia hanya mahu membantu orang yang kurang bernasib baik tetapi balasannya dia kehilangan pekerjaan dan rumah,” katanya.

Dalam satu wawancara dengan akhbar Itali, La Repubblica, Baschiera berkata, dia mahu membantu kerana sistem perbankan meminggirkan golongan berpendapatan rendah tanpa sebarang sumber.

Baschiera memberitahu, dia menghubungi setiap pelanggan bank yang wang dalam akaun mereka diambil bagi menjelaskan tindakannya itu.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 6:14am
d