global

Misi cari mangsa Palu tamat

Oleh AFP

KERAJAAN Indonesia hari ini secara rasminya menamatkan misi mencari mangsa yang terkorban dalam tragedi gempa bumi dan tsunami kira-kira dua minggu lalu, ketika 5,000 penduduk dipercayai masih hilang atau tertimbus di bawah runtuhan.

Pada 28 September lalu, bandar Palu yang terletak di pulau Sulawesi dilanda gempa bumi dengan kekuatan 7.5 magnitud dan disusuli dengan tsunami, mengakibatkan 2,065 penduduknya terkorban.

Selepas dua minggu tragedi berlaku, pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk menemui mangsa yang ditimbus runtuhan bangunan dan lumpur, selain mayat yang sudah reput akibat cuaca panas iklim tropika.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditamatkan pada tengah hari tadi.

“Selepas mengambil kira keadaan yang semakin sukar di lokasi kejadian, kami perlu mengambil kira keadaan kesihatan dan keselamatan anggota penyelamat,” kata pengarah lapangan SAR di Palu, Bambang Suryo.

Bagaimanapun, katanya, pasukan berkenaan akan terus berada di Palu sehingga 26 Oktober sebagai langkah berjaga-jaga, iaitu sehingga perintah darurat ditarik balik.

  • Lagi berita berkaitan Palu Merintih
  • Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 7:26pm
    d