global

Tertimbus dalam kelas

Oleh AFP

MANDAILING NATAL (INDONESIA): Sebelas pelajar sebuah sekolah agama di Mandailing Natal, Sumatera Utara, Indonesia terbunuh ketika mengikuti pelajaran di dalam kelas apabila sekolah mereka runtuh dan dihanyutkan banjir lumpur berpunca daripada hujan lebat.

Hujan lebat sejak Rabu lalu mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa daerah di pulau Sumatera.

Pelajar sekolah agama di kampung Muara Saladi, Mandailing Natal itu antara 22 mangsa yang maut dalam bencana yang melanda Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

“Sebelas pelajar sekolah agama berasrama di kampung Muara Saladi, derah Mandailing Natal, Sumatera Utara maut selepas kelas mereka runtuh dihanyutkan banjir.

“Mereka terperangkap di dalam bangunan, selain banyak rumah di kawasan itu rosak teruk,” kata jurucakap Badan Pengurusan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho.

Dalam tempoh tiga hari lalu, pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 17 orang maut di wilayah Sumatera Utara, manakala lima lagi terbunuh di Sumatera Barat serta ramai lagi mangsa dilaporkan masih hilang.

Ketua agensi bencana Sumatera Utara, Riadil Lubis berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang terjejas disebabkan berlakunya tanah runtuh yang mengakibatkan perhubungan terputus.

“Pasukan mencari dan menyelamat oleh agensi tiba di beberapa daerah, namun usaha terjejas disebabkan kejadian tanah runtuh berlaku di banyak kawasan,” katanya.

Bencana banjir dan tanah runtuh adalah fenomena biasa yang berlaku di Indonesia iaitu sebuah kepulauan tropika luas yang sering terdedah kepada bencana alam dan hujan lebat.

Pada 12 Februari lalu, seramai 12 orang mati selepas dilanda runtuhan lumpur dan bongkah batu di Jawa Tengah.

Manakala hampir 50 orang maut selepas hujan lebat mengakibatkan limpahan air, lumpur serta batu di sebuah kampung di wilayah sama pada Jun 2016.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 6:00am
d