global

Juruteknik tertembak jet F-16 berharga RM164 juta

Oleh Agensi

BRUSSELS: Sebuah jet pejuang F-16 milik tentera udara Belgium terbakar dan sebuah lagi berlubang akibat ditembak selepas seorang juruteknik dalam sebuah lagi pesawat sama secara tidak sengaja tertekan picu tembakan.

Mail Online melaporkan, jet pejuang berharga £35 juta (RM164 juta) meletup selepas ditembak dengan mesingan 20mm dalam F-16 yang mampu melepaskan 6,000 tembakan seminit.

Sebuah lagi pesawat F-16 juga rosak dan dipenuhi dengan kesan peluru dalam kejadian yang berlaku di pangkalan tentera udara di Florennes yang terletak kira-kira 96 kilometer dari selatan Brussels.

Tentera Udara Belgium dalam satu kenyataan berkata, pesawat berkenaan terbakar ketika kerja penyelenggaraan.

“Kami menjangkakan berlaku kesilapan manusia atau kesilapan teknikal,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, portal berita Sudinfo melaporkan, sebuah jet F-16 yang berada di landasan di pangkalan tentera udara ditembak secara tidak sengaja oleh sebuah lagi pesawat model yang sama.

Kata laporan itu, seorang juruteknik di dalam sebuah F-16 di hangar berhampiran menara kawalan secara tidak sengaja melepaskan tembakan.

Tembakan itu mengenai dua F-16 yang diletakkan di hadapan pesawat berkenaan menyebabkan sebuah jet itu meletup dan terbakar.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 6:15am
d