global

Gadis Rohingya dijual

Oleh Reuters

PHNOM PENH: Gadis pelarian Rohingya dijual menjadi buruh paksa untuk mendapatkan wang bagi keluarga terdesak di kem penuh sesak di Bangladesh, menurut agensi penghijrahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pertubuhan Penghijrahan Antarabangsa (IOM) berkata, ia mengenal pasti 99 kes pemerdagangan manusia sejak September 2017, walaupun ia memberi amaran jumlah sebenar mungkin jauh lebih besar.

Daripada mangsa terbabit, 35 daripadanya gadis manakala 31 lagi wanita, kata IOM dalam laporan minggu ini dengan 31 gadis menjadi buruh paksa, begitu juga 26 wanita.

“Kisah yang kita biasa dengar individu terjejas didekati penyeludup dengan janji palsu mendapatkan kerja dan kehidupan lebih baik.

“Yang lain mungkin sedar ia berbahaya, namun merasakan situasi mereka terlalu terdesak sehingga bersedia mengambil langkah ekstrem itu, kemungkinan mengorbankan seorang anggota keluarga demi nasib yang lain,” kata jurucakap IOM, Dina Parmer dalam satu kenyataan.

Mangsa pemerdagangan lain terdiri daripada 25 lelaki dewasa dan lapan budak lelaki dipaksa menjadi buruh. Lima wanita dan empat gadis berakhir dengan situasi eksploitasi seksual.

Badan kebajikan Bangladesh, Young Power in Social Action (YPSA) meningkatkan kesedaran di kalangan pelarian mengenai bahaya pemerdagangan serta mengumpul laporan daripada pemimpin komuniti Rohingya serta kumpulan tempatan dan antarabangsa.

“Lebih 1,000 pelarian dikenal pasti menjadi mangsa pemerdagangan manusia,” kata Jishu Barua dari YPSA.

Lebih 900,000 pelarian Rohingya tinggal di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh, majoritinya dalam kem, menurut PBB.

Bangladesh melarang pelarian daripada meninggalkan kem atau mendapatkan pekerjaan selain mengambil bahagian dalam program skala kecil bekerja untuk tunai dikendalikan agensi kemanusiaan, kata IOM.

“Mereka terdesak keluar dari kem untuk mendapatkan wang,” kata Barua.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 12:30pm
d