global

Anak tercicir atas landasan keretapi

Oleh Agensi

Beijing: Kerana terlalu leka bermain telefon bimbit, seorang wanita tidak sedar anak kecilnya jatuh terperosok ke atas landasan kereta api.

Kejadian itu berlaku di stesen kereta api Beijing, semalam.

Media tempatan melaporkan, kejadian berlaku ketika dua beranak itu mahu melangkah masuk ke koc penumpang kereta api menuju ke Dalian di timur laut China.

Menurut South China Morning Post, kanak-kanak perempuan itu secara tiba-tiba terjatuh ke dalam ruang antara kereta api dan platform namun ibunya tidak sedar kerana leka melihat telefon.

Sebaik menyedari perkara itu, beberapa pekerja stesen bersama ibunya segera mendapatkan pertolongan untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

Selepas memastikan mangsa tidak mengalami kecederaan, salah seorang pekerja memintanya berundur dari pintu bagi membolehkannya mengalihkan panel di tepi untuk mengeluarkannya.

Pekerja itu kemudian masuk ke bawah gerabak dan menarik mangsa untuk menyelamatkannya.

Berdasarkan rakaman kamera keselamatan, kanak-kanak berusia sekitar empat atau lima tahun itu menggigil ketakutan selepas melalui pengalaman itu selain terdapat kesan benjol di kepala.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 10:07pm
d