global

Desak tuntut merdeka daripada China

Oleh Agensi

Taipei: Puluhan ribu penduduk Taiwan berarak di jalan raya dalam satu perhimpunan besar-besaran semalam, untuk menuntut kemerdekaan daripada China.

Bantahan di tengah Taipei itu, berlangsung ketika China berusaha mempertingkatkan tuntutannya ke atas pulau itu yang mengamalkan pemerintahan sendiri.

Malah, Presiden Tsai Ing-wen berusaha untuk mengimbangi kuasa Beijing dan desakan dari pihak yang mahu Taiwan menuntut kemerdekaan daripada China.

Perhimpunan itu juga adalah yang terbesar pernah dianjurkan bagi mendesak undian menuntut kemerdekaan sejak Taiwan melaksanakan pemerintahan demokrasi lebih 20 tahun lalu.

Dalam pada itu, penganjur mendakwa perhimpunan itu berjaya menarik lebih 100,000 peserta.

Peserta yang berkumpul di hadapan bangunan ibu pejabat parti pemerintah, Parti Progresif Demokratik (DPP) turut melaungkan slogan dan mengibarkan bendera yang tertera perkataan ‘Pungutan Suara Kemerdekaan’.

China masih menganggap Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya walaupun kedua-duanya diperintah secara berasingan sejak tamatnya perang saudara di tanah besar pada 1949.

Taiwan mula menganggap ia sebagai negara berdaulat dengan memiliki mata wang dan sistem politik serta kehakiman sendiri walaupun tidak pernah mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi.

Beijing pernah memberi amaran untuk bertindak dengan kekerasan sekiranya Taiwan cuba berpisah secara rasmi.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 7:00am
d