global

Ugut, cekik, buang

Oleh Reuters

Riyadh: Berikutan tekanan antarabangsa yang tidak berpuas hati dengan penjelasan cara kematian Jamal Khashoggi, Arab Saudi dikatakan sedang merangka versi terbaru memperincikan bagaimana wartawan itu mati.

Versi terbaru itu yang menurut pegawai Arab Saudi, termasuk pembabitan 15 orang dalam pasukan yang dihantar ke Istanbul pada hari kehilangan Khashoggi 2 Oktober lalu, yang mengancam mangsa, memberi dadah dan membunuhnya dengan dicekik dari belakang apabila Khashoggi melawan.

Seorang anggota kumpulan itu dikatakan memakai pakaian Khashoggi agar kelihatan seperti mangsa meninggalkan konsulat.

Selepas dua minggu menafikan pembabitan dalam kehilangan kolumnis Washington Post itu, Sabtu lalu, Arab Saudi akhirnya mengakui Khashoggi, 59, terbunuh dalam pergaduhan ketika soal siasat dalam konsulat.

Sejam kemudian, seorang pegawai Arab Saudi menyatakan mangsa mati akibat dicekik dari belakang.

Pihak berkuasa Turki mengesyaki mayat Khashoggi yang banyak mengkritik kerajaan Putera Mahkota Mohammed bin Salman itu ‘dicincang’, namun menurut Arab Saudi, mayat mangsa dimasukkan ke dalam gulungan permaidani dan diserah kepada kumpulan samseng tempatan untuk dilupuskan.

Menurut Reuters, apabila ditanya kenapa versi kematian Khashoggi sering berubah, pegawai berkenaan berkata, kenyataan kerajaan sebelum ini berdasarkan ‘laporan palsu ketika itu’.

“Apabila mendapati laporan berkenaan palsu, kerajaan melancarkan siasatan sendiri dan menghalang sebarang kenyataan kepada umum,” katanya.

Riyadh menghantar pegawai kanan kerajaan iaitu Gabenor Makkah yang amat dipercayai Raja Salam (bapa Putera Mahkota) ke Istanbul bagi menangani isu itu, termasuk penubuhan pasukan siasatan bersama dengan Turki.

Menurut versi terbaru yang bakal diumumkan, kerajaan mahu memujuk Khashoggi yang tinggal dalam buangan di Washington sejak setahun lalu, supaya pulang dalam kempen menghalang rakyat Arab Saudi daripada dipergunakan negara musuh.

Pegawai berkenaan berkata, sehubungan itu, Timbalan Pengarah Perisikan, Ahmed al-Asiri, membentuk pasukan 15 anggota dari agensi perisikan dan tentera untuk ke Istanbul bertemu Khashoggi di konsulat bagi memujuknya pulang ke Arab Saudi.

Pasukan itu merancang menahan Khashoggi di sebuah rumah dekat Istanbul untuk satu tempoh, namun akan membebaskannya jika dia tetap enggan pulang.

Namun, menurut pegawai itu keadaan bertukar menjadi tidak terkawal apabila anggota pasukan berkenaan melampaui batas dan menggunakan kekerasan.

Seorang anggota pasukan itu, Maher Mutreb, memujuknya supaya kembali ke Arab Saudi, namun Khashoggi enggan dan memberitahu seseorang yang berada di luar konsulat akan menghubungi pihak berkuasa Turki jika dia tidak keluar dalam masa sejam.

Tunang Khashoggi, Hatice Cengiz berkata, Khashoggi menyerahkan dua telefon bimbitnya dan memberi arahan menghubungi seorang pembantu Presiden Turki jika dia tidak keluar.

Muteb kemudian memberitahu Khashoggi, mereka akan menculiknya dan memberinya dadah jika dia enggan mengikut arahan mereka.

Apabila Khashoggi meninggikan suara membantah, pasukan itu panik dan memegangnya dengan menguncinya daripada belakang serta menutup mulut.

“Mereka cuba menghalangnya daripada menjerit, namun dia mati,” kata pegawai itu.

Selepas mayat mangsa dibawa keluar dan diserahkan kepada ‘samseng tempatan’, pegawai berkenaan memberitahu pakar forensik, Salah Tubaigy, membersihkan tempat kejadian.

Disiarkan pada: October 22, 2018 @ 10:37am
d